Dec 29, 2025 - FASSelangor FC berjaya meraih tiga mata penuh dalam saingan Liga Super 2025/26 selepas menewaskan Melaka FC 3–0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam, sekali gus melonjak ke kedudukan ketiga liga.
Skuad Gergasi Merah mempamerkan aksi cemerlang pada separuh masa pertama, bermula dengan jaringan pembukaan oleh Noor Al Rawabdeh seawal minit ke-2 perlawanan #SFCMEL apabila beliau menyambar bola lantunan hasil percubaan pihak lawan mengeluarkan hantaran Faisal Halim. Alvin Fortes kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-10 menerusi satu lagi hantaran tepat Faisal Halim, sebelum Chrigor Moraes melengkapkan jaringan ketiga pasukan pada minit ke-13 hasil umpanan Noor Al Rawabdeh. Persembahan klinikal pada separuh masa pertama itu memastikan Selangor FC berada dalam kedudukan selesa untuk mengawal perlawanan. Secara keseluruhan, pasukan mencatat penguasaan bola sebanyak 63 peratus, melakukan 13 percubaan dengan tujuh tepat ke sasaran, selain memperoleh 12 sepakan penjuru serta mengekalkan disiplin tinggi tanpa sebarang layangan kad kuning.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, menyatakan harapannya agar pasukan dapat mengekalkan tempo permainan sehingga minit ke-90 seperti pada separuh masa pertama, namun tetap berpuas hati dengan kemenangan yang diraih.
“Kita berjaya mengawal tempo permainan dengan baik dan bermain secara agresif mengikut perancangan. Namun selepas menjaringkan tiga gol, tempo pasukan bertukar mengikut rentak pihak lawan sedangkan sepatutnya kita patut kekalkan rentak sendiri. Ini adalah perkara yang perlu diperbaiki,” kata Gamel.
“Walau bagaimanapun, dari sudut positif, dalam dua perlawanan terakhir kita berjaya mencipta peluang dan menjaringkan gol melalui tiga penjaring berbeza, ini menunjukkan pasukan beraksi sebagai satu unit. Masih ada ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dari segi konsistensi, namun perkara paling penting adalah tiga mata ini membantu kita naik satu anak tangga dalam kedudukan liga. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan keputusan ini,” tambahnya.
Seterusnya, Selangor FC akan menentang Johor Darul Ta’zim FC dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 4 Januari ini yang dijadualkan pada jam 8:15 malam.
Pihak pengurusan Selangor FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 3,065 penyokong yang hadir memeriahkan Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan. Jumpa anda pada perlawanan seterusnya!
Demi Kebanggaan!